Saturday, August 31, 2013

[Hikayat]: Sultan Mahmud Mangkat di Julang

loading...
Di Kota Tinggi, Johor, pada sekitar tahun 1699, lanun dan bajak laut bermaharajalela! Dari arah Sedili Besar hingga ke kepulauan Riau dan Pulau Penyengat, seluruh perairan Johor di kuasai oleh lanun.

Kapal-kapal perdagangan begitu gusar untuk memasuki pelabuhan Johor karena bimbang diserang mereka. Tak kurang juga penduduk-penduduk setempat yang tinggal di sepanjang pantai kawasan tersebut. Sudah berapa lama nelayan bimbang untuk keluar ke laut.

Keadaan terlalu menakutkan...Tapi tidak di Kota Tinggi. Pusat kerajaan Johor Lama. Terlalu gagah pertahanannya, dibawah kawalan Bendahara Tun Habib Abdul Majid dan Temenggung. Dan perlindungan yang begitu rapi ini membuatkan Sultannya yang masih muda berasa sangat selamat-Sultan Mahmud Syah II.

Pahlawannya pula sangat berwibawa dan bersedia untuk mengorbankan diri demi Sultannya pada bila-bila masa. Antaranya Laksamana Megat Seri Rama, laksamana muda yang datang ke Kota Tinggi dari sebuah wilayah jauh di selatan Kerajaan Johor, Pulau Bentan (Bintan). Dan juga kerana tempat asalnya itu, beliau digelar Laksamana Bentan.

Laksamana Bentan mendapat tempat yang istimewa di mata Sultan Mahmud kerana jasa-jasanya mempertahankan negeri dari ancaman musuh. Kerana itu Laksamana muda itu begitu cepat mencapai kedudukannya sekarang. Namun, sudah menjadi adat dalam masyarakat melayu, kadang-kadang kejayaan seseorang itu, selain dari memberi kegembiraan dan kebanggaan, turut mengundang hasad dengki kepada orang lain. Orang itu adalah Tun Bija Ali!

Sudah terlalu lama Tun Bija Ali berkhidmat kepada Kerajaan Johor, sejak dari zaman Almarhum ayahanda Sultan Mahmud hinggalah sekarang, masih belum mendapat perhatian dari Sultan. Tambahan kehadiran Laksamana baru itu, kini, Baginda Sultan seakan endah tak endah akan dirinya. Hati siapa tidakkan sakit?

Sakit hatinya bertambah-tambah lagi apabila Laksamana Bentan itu berjaya memiliki seorang dara yang juga ingin dimilikinya, Wan Anum. Gadis itu memang digilainya sejak kali pertama gadis itu menjejakkan kaki ke Kota Tinggi, setelah kematian ibu dan ayahnya dibunuh lanun di Mersing. Dia diselamatkan oleh Laksamana Megat Seri Rama dari tangkapan lanun tersebut sedikit masa dahulu dan dibawa ke Kota Tinggi untuk tinggal bersama datuk dan neneknya, Pak Mahad di Kota Tinggi.

Sejak itu Wan Anum berkenan dengan Laksamana yang muda itu, dan ternyata, dia tidak bertepuk sebelah tangan. Dan Laksamana Megat Seri Rama mengambil keputusan untuk mengambilnya sebagai isteri, memandangkan Wan Anum seorang yatim piatu dan tambahan pula gadis itu amat luar biasa, lemah lembut dan cantik pula. Berkahwinlah mereka berdua dan tidak lama lagi pasangan muda itu bakal menimang cahaya mata. Wan Anum kini sedang berbadan dua dan hanya selang sebulan dua untuk menimang cahaya mata sulung.

Namun keadaan tidak selalunya seperti diharapkan. Harapan Wan Anum untuk bersama suami tercinta apabila dia melahirkan anaknya nanti tidak kesampaian. Baginda Sultan telah mengeluarkan perintah yang bahawa Laksamana Megat Seri Rama perlu mengetuai angkatan tentera Johor menentang lanun sekali lagi. Keadaan ancaman lanun lebih hebat kali ini dan ini memaksa Laksamana tidak lagi dapat menangguhkan lagi perintah baginda, walau bagaimana sekalipun beliau bimbangkan keadaan isteri tercinta.

Dan Wan Anum perlu memahami keadaan tugas suaminya dan itu janji pada dirinya sejak dari hari pertama dia menerima lamaran Laksamana muda itu. Demi negara, dia rela, dan ini pun demi keselamatan dirinya juga. Dengan berat hati Wan Anum melepaskan Laksamana Megat Seri Rama pergi menjalankan tugas dilautan. Sepeninggalannya, Laksamana Megat Seri Rama mengamanahkan sahabat baiknya Tun Aman dan kakaknya Tun Khatijah menjaga isterinya Wan Anum.

Namun seseorang sedang memerhatikan peluang ini sebagai peluang yang amat menguntungkan. Keadaan Wan anum yang seorang diri tanpa suami disisi, akan dipergunakan sebaiknya, paling tidak untuk merasai wanita yang dulu pernah terlepas dari genggaman itu. Pada suatu malam, Tun Bija Ali menyusup masuk ke rumah Laksamana yang pada waktu itu Wan Anum sedang keseorangan. Wan Anum yang terperanjat tapi tidak mudah melatah. sekalipun berbadan dua, dia mencuba sedaya upaya menentang akan pencerobohan biadap Tun Bija Ali itu.

Dan kegagalan itu membuatkan Tun Bija Ali tidak senang duduk. Bagaimana jika rahsia itu pecah dan sampai ke pengetahuan Laksamana? Pastinya Laksamana akan mengambil tindakan dan membunuhnya....jadi sebelum Laksamana bertindak keatasnya, biar dia bertindak dahulu.

Sudah hampir 2 bulan Laksamana pergi dan Wan Anum hanya mampu berdoa kepada doa demi keselamatan suami tercinta. Kandungannya semakin sarat. Tapi ada satu perkara yang membuatkan dia gelisah. Terlalu sukar hendak mendapatkan nangka kerana sekarang bukanlah musimnya berbuah, tapi itulah yang amat diidam-idamkan. Kecur tekaknya apabila mengenangkan ulas nangka yang manis tapi dimana hendak dicari? Awang, budak khadamnya itu sudah penat mencari, dari Kampung Bendahara ke Kampung Tembioh, dan seluruh Kampung Kelantan tempat tinggalnya itu masih tidak berjumpa. Setiap batang pokok nangka dibelek, usahkan buah, putik pun tiada.

Namun seakan harapan mula berputik bila terlihat Penghulu sedang mengusung sesuatu di bahu melintasi rumahnya. Dan ternyata ianya sebiji nangka yang sedang masak ranum dan luar biasa pula besarnya dalam perjalanan untuk dipersembahkan kepada Sultan. Wan Anum merayu untuk menjamah sedikit dari buah tersebut, seulas pun jadilah. Semata-mata untuk melepaskan rasa mengidam yang meluap-luap. Rasa simpati mencurah lalu diberikan seulas dari seluruh buah nangka tersebut. Tapi janji dibuat antara mereka berdua, jangan dibiarkan sesiapa yang lain tahu kelak badan binasa.

Malangnya Sultan Mahmud mencurigai akan buah nangka tersebut apabila terlihat akan kesan tebukan kecil pada kulitnya dan getah yang mengalir. Dan apabila dinyatakan angkara siapa, lalu Tun Bija Ali yang kebetulan berada bersama Sultan ketika itu sedar akan peluang ini tidak boleh dilepaskan. Dendam harus dilunas. Lalu dibisikkan kata hasutan, bahawa tindakan Wan Anum yang merasai nangka tersebut sebelum baginda ternyata membawa aib dan ternyata derhaka kepada baginda.

Baginda Sultan yang termakan hasutan ternyata amat murka dan segera menitahkan Wan Anum mengadap. Wan Anum yang sedar keadaannya dirinya sedang terancam merayu kepada baginda bahawa tindakannya semata-mata kerana beliau sedang mengidam dan buah nangka yang dimakannya adalah kerana kehendak anak didalam kandungannya.

Ternyata kata-katanya membawa padah! Sultan Mahmud menitahkan agar perut Wan Anum dibelah semata-mata untuk membuktikan dakwaannya! Tun Bija Ali amat gembira menerima titah tersebut, rahsianya akan terus berkubur, Wan Anum akan menerima padah dan dirinya akan terselamat.

Alangkah malang dan terseksa nasib Wan Anum, sembah rayu tidak dipandang oleh baginda....dan Wan Anum akhirnya terkulai, dengan kandungannya yang terburai. Tapi kuasa Allah Yang Maha Besar. Dakwaan Wan Anum ternyata benar, apabila terlihat oleh baginda dan Tun Bija Ali, terdapat cebisan nangka di mulut janin Wan Anum! Namun itu tidak membawa apa-apa kesan kepada Sultan Mahmud dan Tun Bija Ali, malah diperintahkan seluruh isi istana merahsiakan apa yang telah berlaku terutamanya dari pengetahuan Laksamana Megat Seri Rama.

Makan Sultan Mahmud Mangkat di Julang
Kota Tinggi, Johor
Angkatan tentera Johor menang besar dengan berjaya mengalahkan lanun dan Laksamana Megat Seri Rama sudah tidak sabar benar hendak pulang ke Kota Tinggi untuk bertemu anak isteri yang pada jangkaannya tentu Wan Anum telah pun melahirkan zuriat mereka. Namun khabar mengatakan Wan Anum meninggal dunia semasa melahirkan anak mereka meluluhkan jiwa laksamana tersebut. Terlalu kecewa dan pedih dihatinya.

Pada suatu hari, sewaktu berjalan pulang dari kubur, hujan renyai turun memaksa laksamana itu mencari tempat perlindungan dan dia singgah berteduh dibawah bumbung sebuah rumah pekerja istana. terdengar olehnya akan perbualan suami isteri didalam rumah tersebut mengenai penganiayaan dan dilakukan oleh Sultan Mahmud keatas Wan Anum. Rasa amarah meluap-luap dan membara, membakar rasa dendam yang teramat sangat. Tambahan pula, Tun Aman sahabat baiknya membuka rahasia, yang semua ini angkara dari Tun Bija Ali! Lalu sebuah pakatan dibuat untuk menyelesaikan kedua binatang bedebah tersebut.

Tun Bija Ali seorang yang kaki perempuan, walaupun telah beristeri empat tapi masih menggilai perempuan lain, antaranya Tun Khatijah, kekanda Tun Aman. Dan peluang ini digunakan oleh Tun Aman untuk memerangkap Tun Bija Ali dan hasilnya, Tun Bija Ali berkubur ditengah hutan tanpa diketahui sesiapa! Tersenyum puas Laksamana Bentan kerana orang yang menjadi onar telah pun menerima akibatnya namun itu belum cukup.

Pada suatu malam Jumaat, diperasap diasam keris panjang dan keris pendua. Esok, bumi Kota Tinggi bakal menjadi bertuah, dimana ditanahnya akan melimpah darah seorang Raja. Menjelang tengahari, sewaktu penduduk Kota Tinggi berpusu-pusu menuju ke Masjid Besar untuk menunaikan solat Jumaat, hujan renyai panas membasahi bumi. Sultan Mahmud Syah sedang dijulang pengiring-pengiringnya dari atas tandu ke tangga istana.

Dan tiba-tiba Laksamana Megat Seri Rama muncul, menghalang laluan baginda. Diatas julangan tersebut, baginda ditikam di rusuk kiri membuat baginda dan orang-orangnya terpana, terkejut dengan apa yang berlaku. Tetapi dalam keadaan nazak, Baginda mencabut keris kerajaan yang tersisip dipinggangnya, lalu dilontar ke kaki Laksamana, lantas memaku Laksamana itu ke bumi, sambil melafazkan kalimah

"Jika benar beta Raja berdaulat, beta haramkan sebarang anak Bentan dan seluruh keturunannya memijak bumi Kota Tinggi, jika diingkar beta sumpah muntah darah hingga putuslah nyawa!"

Dan tak semena-mena, Laksamana yang sedang cuba mencabut keris dikakinya, memuntahkan darah yang membuak-buak lalu rebah di kaki tangga masjid. Sementara Sultan Mahmud Syah mangkat diatas julangan pengiringnya. Sejak dari peristiwa itu baginda yang merupakan keturunan Kesultanan Melaka yang terakhir, digelar orang Marhum Mangkat Dijulang dan tidak meninggalkan sebarang pewaris takhta.

Laksamana Bentan Megat Seri Rama dan  Makam Sultan Mahmud Mangkat di Julang
Kota Tinggi, Johor

Manakala diceritakan orang, sumpahan baginda masih tegar dan keras dibumi Kota Tinggi, Johor. Jenazah baginda dimakamkan di Kampung Makam dan Laksamana Megat Seri Rama pula, dikebumikan bersebelahan dengan kubur isteri dan anaknya di Kampung Kelantan, Kota Tinggi, Johor

Hikayat sejarah lama ini memberi pengajaran kepada kita, bahwa hasad dan dengki akan puncak segala kejahatan. Selain itu, seorang raja dan pemimpin haruslah bijaksana, dan tidak mendengar semua bisikan dan hasutan orang lain sehingga tidak semena-mena.

Kisah Sultan Mahmud Mangkat di Julang ini pernah difilemkan di Malaysia pada tahun 1961. Untuk menonton filemnya, silahkan buka di tautan ini: http://www.youtube.com/watch?v=3y2p-kSvs6I
loading...

0 komentar:

Post a Comment

Artikel ini belum lengkap tanpa komentar anda!
Silahkan berkomentar yang santun dan cerdas, tidak menghina, tidak memaki dan tidak menyebar kebencian. Terima kasih